BAB 1 : SOSIOLOGI PENDIDIKAN


PENGERTIAN SOSIOLOGI 
Menurut Ottoway (1964) sosiologi adalah satu bidang sains kemasyarakatan. Sosiologi pendidikan ialah sains sosial yang menggunakan ilmu sosiologi untuk mengkaji bidang pendidikan dalam sesebuah masyarakat. Dalam erti kata lain, sosiologi pendidikan melihat pendidikan dari segi perspektif sosiologi.

PERSPEKTIF TEORI SOSIOLOGI PENDIDIKAN
Pendekatan kajian yang dipraktikkan dalam sosiologi pendidikan dapat dibahagi kepada dua bentuk iaitu pendekatan mikro dan pendekatan makro. Pendekatan makro amat berkait rapat dengan teori fungsionalisme dan teori konflik manakala pendekatan mikro melibatkan teori interaksionisme simbolik.

3 Teori Utama :  

Teori Fungsionalisme
Teori Konflik
Teori Interaksionisme Simbolik

TEORI FUNGSIONALISME                
Menyatakan bahawa setiap ahli masyarakat dan institusi dalam sesebuah komuniti saling bergantung antara satu sama lain. Contohnya, pelajar di sekolah bergantung terhadap guru bagi memperolehi ilmu, guru pula bergantung kepada kurikulum yang mereka akan terapkan dalam proses mengajar. Pendekatan teori ini diibaratkan seperti setiap anggota badan manusia mempunyai peranan yang tersendiri dan setiap daripada anggota tersebut bergantung antara satu sama lain untuk berfungsi. Teori ini bertujuan untuk  melahirkan masyarakat yang harmoni agar dapat memastikan kestabilan negara.

TEORI KONFLIK
Teori konflik ini melibatkan ketegangan yang berlaku antara individu dan kumpulan-kumpulan dalam sesebuah masyarakat bagi memperoleh kepentingan yang diingini. Max Weber adalah individu yang telah mengaitkan teori konflik dengan pendidikan. Beliau menegaskan bahawa fungsi utama sekolah ialah mendidik pelajar tentang status budaya. Penglibatan kuasa dan kepentingan mewujudkan konflik antara individu dan kumpulan maka mempengaruhi sistem pendidikan dalam masyarakat tersebut. Contohnya, para guru perlu melakukan tugas-tugas pentadbiran dan pada masa yang sama juga mesti melakukan tugas mengajar. Dari segi perspektif pelajar pula mereka perlu mendapatkan keputusan yang cemerlang  kerana tekanan oleh ibu bapa yang ingin melihat anak mereka berjaya. Oleh itu, timbullah konflik kerana anak tersebut perlu sering mengulang kaji pelajaran dan mengurangkan  sesi bermain.


TEORI INTERAKSIONISME SIMBOLIK

Teori ini mengkritik teori fungsionalisme dan teori konflik yang terlalu bergantung kepada manusia secara keseluruhan dan didasari oleh sistem sosial. Teori interaksionisme beranggapan bahawa manusia bukanlah makhluk yang pasif dan memerlukan interaksi sosial untuk membentuk sebuah realiti. Teori ini berfokuskan penelitian  makna-makna yang dibentuk oleh masyarakat seperti antara guru dan pelajar. Contohnya, membuat kajian bagaimana  pelajar  mempunyai perangai yang tidak baik di sekolah dengan membuat penelitian terhadap cara mereka berinteraksi dengan guru.

KONSEP SOSIALISASI

Terdapat beberapa tokoh yang menjelaskan mengenai maksud sosialisasi. Antaranya ialah :

Charlotte Buhler
Sosialisasi adalah proses yang membantu individu belajar dan menyesuaikan diri, bagaimana cara hidup dan berfikir agar dapat berfungsi dalam kelompoknya sendiri.

Bruce J. Cohen
Sosialisasi adalah proses-proses manusia mempelajari tata cara kehidupan dalam masyarakat untuk memperoleh keperibadian dan membangunkan masyarakat agar berfungsi dengan baik sebagai individu mahupun sebagai anggota sesuatu kelompok.

Peter Berger
Sosialisasi adalah suatu proses di mana seorang kanak-kanak yang belajar sehingga menjadi anggota yang mampu menyumbang dalam sesebuah masyarakat.

PENGERTIAN SOSIALISASI

Sosialisasi merupakan suatu proses belajar yang berlangsung sepanjang hidup manusia sejak individu dilahirkan sehingga tua yang memainkan peranannya dengan berfungsi secara kelompok.



Manusia tidak dapat hidup secara sendiri dan setiap individu mempunyai perbezaan yang tersendiri maka sosialisasi wujud untuk menimbulkan unsur kerukunan, persatuan dan hidup saling menghargai.

TUJUAN SOSIALISASI

-Memberikan keterampilan dan pengetahuan kepada seseorang untuk hidup secara bermasyarakat.
-Mengembangkan kemampuan seseorang untuk berkomunikasi  lebih efektif dan efisien.
-Menanam nilai-nilai dan kepercayaan kepada seseorang yang mempunyai tugas yang tersendiri dalam masyarakat.

KESIMPULAN
Sosiologi pendidikan melibatkan manusia oleh itu skop kajian adalah
sangat meluas. Pendidikan dikelilingi dengan unsur kemanusiaan dan pendidik harus tahu
peranan mereka dalam dunia sosial. Justeru, pendidik perlu tahu tentang sosiologi kerana
mereka berkhidmat di dunia pendidikan yang dikelilingi masyarakat


































Comments

Popular Posts